09-632 1200

Sejarah Pembinaan Muzium

SEJARAH PEMBINAAN MUZIUM

Peringkat awal penubuhannya, Muzium Negeri menumpang di satu sudut bekas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (pada masa itu sudah menjadi Pejabat Ketengah) di atas Bukit Che Long di Jalan Cherong Lanjut, Kuala Terengganu. Pengambilan kakitangan bermula pada tahun 1976 dan ditadbir oleh seorang pegawai dari Bahagian Pentadbiran Am, Pejabat Setiausaha Kerajaan sebagai Setiausaha Lembaga Muzium Negeri. Muzium Negeri berdiri sebagai satu identiti tersendiri setelah pelantikan seorang Kurator pada September 1981 kemudiannya dikenali Pengarah pada tahun 1985.

Sejak itu operasi muzium mula terserlah dan semakin aktif terutama pengumpulan koleksi di samping kerja-kerja penyelidikan. Pihak muzium telah membuka dua galeri di bangunan lama ini dan dibuka kepada orang ramai setiap hari pada waktu pejabat. Walaupun keadaan fizikal bangunan yang kurang sesuai, namun begitu prestasi yang ditunjukkan oleh muzium menyedarkan Kerajaan Negeri bahawa institusi ini perlu diberi perhatian. Natijahnya, pada awal tahun 1980an, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan peruntukan bagi pembinaan Kompleks Muzium baru di atas tapak seluas 27 hektar (60 ekar) di Kampung Bukit Losong, Mukim Paloh, Kuala Terengganu.

Pemilihan lokasi Kompleks Muzium ini adalah selaras dengan saranan UNESCO yang menggariskan beberapa kriteria tertentu bagi pembinaan muzium. Antaranya ialah :-

  1. Mempunyai kawasan taman semulajadi yang tenteram dan nyaman. Fenomena ini menyerlahkan suasana harmoni dan sesuai untuk mereka yang memerlukan ketenangan.
  2. Kawasan lapang dan terbuka. Keadaan ini memberi ruang untuk pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan permuziuman.
  3. Ruang yang mencukupi. Ruang yang sesuai begitu penting bagi sesebuah muzium. Ini akan memudahkan perancangan untuk menjadikan muzium berkenaan lengkap dan menarik.

FASA 1

Kerja-kerja pembinaan Kompleks Muzium baru bermula pada tahun 1985 dan dibina dalam lima Fasa. Perlaksanaan Fasa 1dimulakan pada tahun 1985 yang merangkumi kerja-kerja infrastruktur seperti penyediaan jalan-jalan masuk utama serta longkang-longkang, pembinaan jambatan, penyediaan kemudahan tempat meletak kenderaan serta kerja-kerja penyediaan dan pembaikan tanah untuk menstabilkan lereng-lereng bukit.


FASA II

Fasa II telah dilaksanakan pada tahun 1986 meliputi kerja-kerja seni taman seperti penanaman pokok-pokok asas dan hiasan serta pembinaan β€˜retaining wall’, β€˜retaining boulder’ serta laluan pejalan kaki. Kerja-kerja pemindahan dan penempatan semula empat buah rumah tradisional iaitu Istana Tengku Long, Rumah Tele, Rumah Bujang Berpeleh serta Rumah Hajjah Ngah Aishah juga dilakukan.


FASA III

Fasa III yang meliputi kerja-kerja pembinaan Muzium Maritim I ( Galeri Pelayaran dan Perdagangan ) telah dilakukan pada tahun 1988 termasuk kerja-kerja penempatan semula dua buah perahu besar iaitu Sabar dan Kemajuan.


FASA IV

Kerja-kerja pembinaan bangunan utama dilakukan melalui Fasa IV pada tahun 1989 dan upacara pecah tanah pada tahun 1991 telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Setia Wangsa, Dato’ Haji Abdul Rahman Nasir, Setiausaha Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu pada masa itu.


FASA V

Fasa V dilakukan dalam tahun 1993 dengan kerja-kerja Pembinaan Muzium Maritim II ( Galeri Perikanan dan Taman Laut ).

Dari segi tenaga kerja pula, Muzium Negeri bermula dengan pengambilan tiga (3) orang kakitangan pada tahun 1979. seterusnya penambahan kakitangan semakin rancak sehinggalah kemasukan seorang Kurator pada tahun 1981 yang seterusnya dilantik sebagai Pengarah Muzium Negeri yang pertama.

Kompleks Muzium siap dibina pada tahun 1984. Dengan kepakaran yang ada kerja-kerja menyiapkan galeri pameran dijalankan, akhirnya kompleks ini dapat dibuka kepada pelawat. Majlis perasmian kompleks ini telah dirasmikan pada 20 April 1996 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke 15.

Kini dalam era abad ke 21, Muzium Negeri dengan kemudahan yang ada dan kakitangan hampir 200 orang terus melangkah gagah bagi mencapai objektif penubuhannya di samping memainkan peranan penting sebagai agen pembangunan negeri dan masyarakat.

KONSEP REKABENTUK MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Konsep Rekabentuk Kompleks Muzium Negeri Terengganu diilhamkan oleh Yang Mulia Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah. Tiga pertimbangan utama telah dibuat di dalam merealisasikan rekabentuk bangunan utama Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Pertama, ia berkaitan dengan imej ataupun rekabentuk bangunan. Di peringkat awal, konsep rupabentuk Rumah Tele atau Rumah Bujang Berserambi telah dipilih. Ciri utama rekabentuk senibina ini ialah `fascia’ hadapannya yang dikenali sebagai pemeleh dan panel dinding berukir. Bangunan ini juga direkabentuk untuk memberikan gambaran seakan-akan ia berdiri di atas tiang dengan ruang masuk melalui tangga yang terangkat seperti rumah tradisional di kampung-kampung. Bahan serta ukiran kayu yang diselitkan bertujuan untuk menambahkan aspek keaslian serta estatiknya.

Kedua, perancangan susun atur ruang yang diputuskan di dalam aspek pembinaan bangunan utama ini mengandungi 4 blok yang bersambungdengan ruang `communal’ yang berfungsi sebagai laman pameran. Rangkaian bangunan yang bersambung ini menggambarkan satu keluarga yang besar yang berakar umbi daripada keluarga asas iaitu blok utama dan apabila jumlah isi keluarga berkembang, maka wujudlah bangunan yang baru, iaitu rangkaian blok-blok lain. Daripada aspek kekeluargaan, ia menampakkan suasana akrab dan rapat di antara ahli keluarga. Jambatan penghubung di antara blok utama dengan blok yang lain menggambarkan bahawa hubungan di antara ibu bapa dan anak serta ahli keluarga sentiasa terjalin erat.

Susun atur ruang sedemikian juga diharap akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati sistem laluan yang menarik dan selesa di mana mereka boleh bergerak dari satu blok ke satu blok yang lain. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati dua keadaan yang berbeza, di mana semasa berada di dalam bangunan, pengunjung juga boleh menikmati dua keadaan yang berbeza, di mana semasa berada di dalam bangunan, pengunjung akan menikmati suasana yang agak `mekanikal’ manakala berada di jambatan penghubung, pengunjung menikmati suasana luaran yang begitu `natural’ dan nyaman.

Ketiga, bangunan ini juga dibina menghadap sungai di dalam paksi Timur Barat. Konsep ini dilaksanakan berasaskan pengangkutan tradisi yang menggunakan jalan air (sungai). Dengan ini, diharapkan pengunjung berpeluang untuk datang ke Muzium dengan menggunakan jalan air. Untuk lebih efisien, sebuah jeti yang boleh dijadikan pengkalan oleh para pengunjung juga telah dibina.

Untuk menambah lagi ciri `ketradisionalannya’, sebuah lagun buatan telah dibina sebagai kolam bayangan `fantasy pool’ berhampiran dengan tebing sungai. Kewujudan kolam bayangan ini akan dapat mengurangkan konsep ukuran bangunan (building scale) kepada konsep yang lebih berteraskan ukuran kemanusiaan (human scale).

PENGGUNAAN RUANG

Bangunan Muzium Utama terdiri daripada 4 blok iaitu Blok A,B,C dan D. Keluasan keseluruhan lantai ialah 75,750 meter persegi, manakala keluasan lantai ruang pameran ialah 27,272 meter persegi.

Blok A merupakan blok yang tertinggi dan juga merupakan blok utama. Ia terdiri daripada 5 tingkat. Sebahagian daripada ruang blok A, iaitu di tingkat 2,3 dan 4 menempatkan galeri pameran tetap, manakala di tingkat 1 digunakan untuk ruang kuratorial, perpustakaan dan surau. Tingkat bawah dikhaskan untuk ruang stor koleksi dan makmal fotografi. Pintu masuk utama pelawat terletak di tingkat 2 blok ini.

Blok B digunakan sepenuhnya untuk ruang pameran, iaitu menempatkan 3 galeri pameran tetap, manakala Blok C yang terdiri daripada 4 tingkat digunakan untuk ruang pameran sementara, sebuah galeri pameran tetap, bilik pentadbiran, bilik mesyuarat, makmal sumber alam, makmal pemuliharaan, bilik persidangan serta bengkel ketukangan.

Blok D yang terletak di bahagian paling belakang pula menyediakan ruang untuk Dewan Teater, yang boleh memuatkan seramai 220 orang pada satu-satu masa.

Terdapat sebanyak 11 buah galeri pameran di bangunan utama. Antara galeri-galeri ini termasuklah Galeri Tekstil, Kraf, Sejarah dan Pra Sejarah, DiRaja, Islam, Sumber Alam Dan Ekonomi, Pameran Sementara, Petroleum, Menteri Besar, Galeri Perikanan Dan Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.

Selain itu, di kawasan Komplek Muzium juga terdapat 5 buah rumah tradisional, taman ubat-ubatan yang boleh dilawati dan dikunjungi oleh pelawat. Bagi kemudahan pelawat, tempat letak kenderaan, kafeteria, kedai cenderamata, wakaf, bangku-bangku tempat duduk dan surau turut disediakan.

Kenali Artifak

Pasu Bertulis
Pasu Bertulis

IKUTI KAMI DI FACEBOOK

Maklumbalas Previous button | Polisi & Privasi | Dasar Keselamatan | Peta Laman | Notis Perundangan

Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Google Chrome atau Mozilla Firefox yang terkini dengan resolusi 1920x1080
Kemaskini terakhir : 28 Januari 2024 - 4.20 petang

Β 

Hakcipta Terpelihara Β© 2024. Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Search