Muzium memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Sumbangan serta peranan yang dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilihat daripada beberapa aspek.
Antaranya:-
1. Muzium Sebagai Gedung Khazanah Sejarah Dan Budaya Negara.
Muzium mempunyai komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam menyelamat dan memelihara warisan manusia dan persekitarannya. Aktiviti menyelamat dan memulihara disusuli dengan maklumat lengkap dan didokumentasikan sebelum dibuku dan diterbit untuk sebaran kepada umum. Sehubungan dengan itu, muzium bertindak sebagai pencari dan pengumpul maklumat untuk orang ramai.
2. Muzium Sebagai Penyebar Maklumat Dan Mendidik Masyarakat.
Menyebar maklumat dan mendidik masyarakat mengenai bidang-bidang tertentu adalah salah satu fungsi utama Muzium. Pameran-pameran yang dirancang dan diadakan beberapa kali sepanjang tahun, merupakan satu cara untuk menarik orang ramai ke Muzium. Hasil penyelidikan dan kajian ilmiah yang dilakukan, diterbit dalam bentuk buku, monograf, jurnal dan lain-lain lagi untuk diedar dan disalurkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat keseluruhannya. Cara ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan dan peka terhadap sejarah dan budaya sendiri. Penyebaran maklumat oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, dengan mengambilkira semua golongan peringkat masyarakat, kerana Muzium berpegang kepada konsep mesra masyarakat "Jika mereka tidak dapat datang ke Muzium, Muzium perlu pergi kepada mereka ". Justeru itu, Muzium Negeri turut merangka program pameran bergerak ke sekolah-sekolah, memberi ceramah, seminar dan lain-lain lagi.
3. Memupuk Semangat Kesedaran Masyarakat Terhadap Sejarah Dan Budaya Sendiri.
Aktiviti-aktiviti Muzium selari dengan matlamat melahirkan semangat kesedaran, dan kecintaan masyarakat terhadap budaya warisan sendiri. Usaha-usaha pemuliharaan dan penyelidikan yang dijalankan dapat membuka mata masyarakat, betapa perlunya budaya warisan dipelihara. Serentak itu, ceramah, seminar serta bengkel turut diadakan bagi mengajar dan mendidik masyarakat tentang cara dan kepentingan memelihara budaya warisan.
4. Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Dan Pembelajaran.
Muzium yang berperanan sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran, menyediakan beberapa program tertentu seperti:-
Lawatan Berpandu Pihak Muzium menyediakan pegawai serta kakitangan yang berpengalaman untuk memberi maklumat dan penerangan mengenai koleksi yang dipamerkan kepada para pengunjung terutama pelajar sekolah.
Ceramah Muzium bertanggungjawab memberi ceramah atau penerangan mengenai fungsi dan peranan serta kepentingannya kepada masyarakat. Langkah ini diharap dapat memberi kesedaran dan jati diri kepada generasi baru akan kehebatan dan kecekalan nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.
Bengkel Pihak Muzium juga menyusun program cuti sekolah dengan mengadakan bengkel untuk melatih pelajar sekolah seperti bengkel penyediaan pameran, bengkel pemuliharaan dan lain-lain lagi.
Penerbitan Promosi Muzium ini juga berperanan sebagai agen penyebar maklumat, melalui pengedaran risalah, buletin dan poskad yang mengandungi maklumat ringkas berkaitan pameran, tempat bersejarah, kalendar aktiviti dan sebagainya.
Menyemai Semangat Kekitaan dan Kenegaraan Muzium yang diibaratkan sebagai βuniversiti terbukaβ melalui bahan pameran yang dipertontonkan dapat memberi peluang kepada setiap anggota masyarakat, mengenali budaya sendiri atau bangsa lain. Hal ini dapat memupuk semangat kekitaan. Para pelawat juga berpeluang mengambil iktibar daripada sejarah lampau, mengenai ketokohan tokoh-tokoh silam dan para pahlawan negara, malah perkembangan teknologi. Keadaan ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat kenegaraan terutama dalam kalangan generasi muda.
Selain itu Muzium secara tidak langsung menonjolkan peranan dalam membentuk masyarakat peka, dan mempunyai kesedaran yang tinggi dengan menanam semangat :-
βPast teaching the presentβ
βBe proud of your heritageβ
βPresent guiding the futureβ
βCulture heritage β Wealth of a nationβ
βMuseum source of your rootsβ
Perpustakaan Seiring dengan fungsinya dan peranan sebagai penyebaran maklumat, pihak muzium juga menyediakan sebuah perpustakaan yang di dalamnya mengandungi pelbagai buku, kertas kerja dan penerbitan yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan.
Pameran Muzium juga mengadakan pelbagai pameran, sama ada tetap atau bergerak, yang bertujuan menyebarkan maklumat mengenai sejarah dan budaya. Kaedah ini dapat mewujudkan masyarakat berilmu dan kreatif serta inovasi.