Lawatan PUSPANITA Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia
- Super User
- Berita Semasa
Pada hari Isnin, 18 Julai 2022 jam 9.30 pagi, Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah menerima kunjungan lawatan rasmi 20 orang wakil PUSPANITA daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Daerah Kemaman, Terengganu.
Rombongan tersebut telah dibawa melawat ke sekitar Kampung Budaya Terengganu (KBT) dan melihat proses menggoreng keropok keping menggunakan pasir khas di Laman Rumah Nelayan. Mereka turut disajikan hasil anyaman membuat beg, bakul, hasil kraftangan daripada daun mengkuang di Rumah Bujang Berkembar. Proses pembuatan tersebut telah disampaikan oleh Cik Rabiatul.
Selain daripada itu, di Rumah Tele, satu demonstrasi meniup tetuang, demonstrasi telepuk turut diadakan. Malah, persembahan gamelan oleh kakitangan KBT turut dipersembahkan di Istana Tengku Long kepada peserta rombongan. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba sendiri alat muzik gamelan tersebut.Β
Pada sekitar jam 11.00 pagi, rombongan dibawa ke Galeri Utama Muzium Negeri Terengganu. Taklimat mengenai Batu BersuratΒ telah disampaikan oleh Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Che Muhamad Azmi bin Ngah. Rombongan PUSPANITA juga dibawa melihat keindahan kain tenunan, songket, telepok, proses di sebalik penghasilan setiap kain yang dipamer di Galeri Tekstil dan taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Etnologi, Puan Ramlah binti Latif.
Secara tidak langsung, lawatan ini dapat memberi pendedahan kepada peserta lawatan tentang adab kebudayaan Negeri Terengganu.