09-632 1200
webmaster@muzium.terengganu.gov.my

Berita Semasa

Previous Next

JEJAK MANUSKRIP MELAYU BERKAITAN TERENGGANU DAN ISLAM

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

 

Pada 26 hingga 30 Julai 2026, hasil kerjasama antara Lembaga Muzium Negeri Terengganu bersama 4 agensi berkaitan telah melaksanakan satu ekspedisi menjejak dan mendigitalkan manuskrip Melayu berkaitan Terengganu dan Islam telah dilaksanakan di empat wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani.

 

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Maahad Tahfiz Selar Anak Ayam ( Muzium Al-Quran Melayu Raya, Narathiwat ), EL-KHALIL ISLAM YALA, Rumah Haji Sulong ( Pusat Pengajian & Muzium Ahli Falsafah Tempatan ) dan Masjid Wadil Hussein, Teluk Manok.

 

 

Hasil daripada ekspedisi ini, dianggarkan hampir 5,000 halaman manuskrip berjaya didigitalkan sebagai usaha memastikan khazanah ilmu dan warisan bangsa terus terpelihara untuk tatapan serta kajian generasi akan datang.

 

Pendigitalan ini bukan bertujuan mengambil hak milik sesiapa. Sebaliknya, ia adalah satu usaha menyelamatkan ilmu yang terkandung dalam manuskrip agar tidak hilang ditelan zaman.

 

Setiap helaian yang dirakam bukan sekadar tulisan di atas kertas lama, tetapi mengandungi kisah kehidupan, pemikiran para ulama, catatan sejarah, budaya dan identiti masyarakat Melayu Islam yang telah membentuk tamadun kita sejak ratusan tahun dahulu.

 

Hakikatnya, manuskrip tidak hilang dalam sehari. Ia hilang sedikit demi sedikit.

 

Bermula apabila disimpan di dalam almari atau gobok tanpa penjagaan yang sewajarnya, dimakan anai-anai, rosak akibat kelembapan atau koyak dimamah usia. 

 

Ada juga yang tidak pernah diketahui kewujudannya kerana hanya tersimpan di rumah, menunggu masa untuk musnah. 

 

Apabila keadaan itu berlaku, kita sering menyalahkan orang lain kerana kononnya sejarah tidak dipelihara, sedangkan kadangkala warisan itu berada di depan mata kita sendiri tetapi tidak pernah diberikan peluang untuk diselamatkan.

 

Warisan bukan dinilai dengan harganya, tetapi dengan nilainya kepada sejarah. Manuskrip-manuskrip ini bukan milik satu keluarga atau satu generasi semata-mata, sebaliknya merupakan khazanah ilmu yang menjadi milik seluruh bangsa.

 

Jika ia hilang, bukan sahaja kita kehilangan naskhah lama, malah kita kehilangan bukti tentang siapa kita, dari mana asal-usul kita dan bagaimana tamadun ini berkembang.

 

Semoga usaha kecil ini menjadi permulaan kepada kesedaran yang lebih besar bahawa memelihara warisan adalah tanggungjawab bersama.

 

Kerana sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk diwariskan kepada mereka yang akan datang.

 

Manuskrip yang hilang mungkin tidak akan ditemui lagi. Tetapi manuskrip yang berjaya dipelihara hari ini akan terus hidup, bercerita dan menjadi saksi kepada anak cucu kita pada masa hadapan.

 

 

Kenali Artifak

Anak Kasa Tembaga Puteh
Anak Kasa Tembaga Puteh

IKUTI KAMI DI FACEBOOK

All Rights Reserved © 2026. Terengganu State Museum.

Search