Print

Tiada Alasan Untuk Tidak Ke Muzium - KP JMM

Ditulis pada . di dalam Berita

KUMPULAN UNIC ketika membuat persembahan dalam Majlis Perasmian Muzium Berselawat Dan Ceramah Perdana Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka malam tadi. - UTUSAN ONLINE/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN.

 

MELAKA 27 Julai - Masyarakat tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan untuk tidak melawat ke mana-mana Muzium dalam negara kerana muzium berkonsepkan mendidik serta menyebarkan pengetahuan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim yang menyuarakan pendapatnya itu mempersoalkan sikap masyarakat yang mampu berbelanja untuk hiburan, namun tidak berkunjung ke muzium yang secara langsung melibatkan pendidikan.

“Malahan kita di peringkat Persekutuan hanya beberapa buah muzium sahaja yang mengenakan bayaran dan rata-rata bayaran minima RM2 untuk masyarakat tempatan manakala murid serta pelajar sekolah adalah percuma.

“Mungkin hanya 30 peratus Muzium di seluruh negara yang mengenakan bayaran kepada pengunjung. Masyarakat boleh bayar beratus untuk hiburan, maka tiada alasan untuk tidak ke muzium, cuma bergantung kepada sikap dan mentaliti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Muzium Berselawat Dan Ceramah Perdana Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab serta Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas.

Sementara itu, Kamarul Baharin menjelaskan, Muzium bukanlah sesuatu tempat yang mudah untuk dikunjungi masyarakat kerana bukan bersifat hiburan, namun pihak muzium perlu mempunyai kaedah untuk menarik perhatian orang ramai.

“Kita perlu mendekati masyarakat dengan mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta melibatkan sekolah-sekolah dalam program yang dianjurkan.

“Tujuan untuk mendidik masyarakat sejajar dengan prinsip Muzium yang mahu mendidik dan menyebarkan pengetahuan untuk masyarakat umum,” ujarnya.

Menurutnya, beliau berpandangan, pihak Muzium boleh menarik lebih ramai pengunjung, namun usaha itu memerlukan pelaburan besar melibatkan lebih banyak pameran bersifat interaktif serta membawa masuk sesuatu yang mungkin tidak pernah dilihat oleh masyarakat. - UTUSAN ONLINE.

 

Oleh :
Sumber : Utusan Melayu Online
© Utusan Melayu (M) Bhd