Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

FESTIVAL GAMELAN SEDUNIA KALI KE-5, 2017

Ditulis pada . di dalam Berita

           Festival Gamelan Sedunia Kali Kelima 2017 merupakan usaha berterusan yang dilakukan selepas Festival dan Simposium Gamelan Pertama, kedua, ketiga, dan keempat  yang telah  diadakan pada tahun 2008, 2010, tahun 2013 dan tahun 2015. Penganjurannya juga merupakan salah satu acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu 2017. Festival kali kelima ini diharap dapat dijadikan pemangkin dan dapat memberikan suatu ruang edutainment yang bermutu tinggi kepada masyarakat setempat khususnya dan para pencinta serta pendokong seni gamelan seluruh negara umumnya. Juga menjadi hasrat agar, para pelancong luar negara turut dituntut untuk datang bersama bagi mengenali, menghayati dan sekaligus mengetahui tentang selok belok serta sejarah dan perkembangan seni warisan gamelan setempat yang mempunyai pertalian rapat dengan seni gamelan dari luar negara, khususnya gamelan dari Indonesia.

Festival Gamelan Sedunia kelima juga diharap akan berterusan dijadikan  platform dalam usaha kerajaan bagi mengenengahkan lagi seni gamelan Terengganu (Malaysia) kepada seluruh aktivis gamelan dari seluruh dunia. Produk akhirnya ialah merealisasikan hasrat agar gamelan Terengganu mampu mencipta nama di seluruh pelusuk dunia sebagaimana gamelan Jawa dan gamelan Bali yang telah berjaya menakluki benua Amerika dan juga benua Eropah.

Festival ini juga sebagai satu pemangkin kepada  kemasukan pelancong- pelancong asing terutama yang datang untuk mengenali dan menikmati genre seni warisan Gamelan yang begitu unik dan telah mencipta nama di seluruh pelusuk dunia mengambil sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 yang bakal disambut dalam skala kebangsaan dan skala negeri.