Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Semai Cinta Terhadap Gamelan

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

 

Kumpulan Gamelan Nottingham dari United Kingdom turut menyertai Festival Gamelan Sedunia di Dataran Shahbandar.

 

KUALA TERENGGANU - Gamelan dengan adunan seni muzik dan tari Melayu klasik, merupakan warisan nusantara yang cukup indah serta tinggi nilai seninya.

Tradisi seni pementasan yang amat eksklusif pada awalnya, terus bertahan sejak berabad lamanya dan bagi mereka yang mengaguminya, mengharapkannya menjadi satu seni warisan dunia agar terus terpelihara dan tidak menempuh zaman suram.

Di negara ini, gamelan yang dikatakan awalnya diperkenalkan di Pahang, lebih menonjol di Terengganu dan menjadi sebahagian daripada identiti negeri itu apabila dinaungi oleh kerajaan negeri.

Justeru selain wujudnya badan yang mengumpulkan para penggiat bagi mengadakan persembahan pada majlis-majlis rasmi, kerajaan negeri turut menganjurkan pertandingan sebagai salah satu langkah menyubur dan menyemaikan kecintaan terhadap seni itu dalam kalangan masyarakat.

Buat kali ketiga pula, kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium negeri menganjurkan Festival Gamelan Sedunia di sini baru-baru ini yang menghimpunkan berbelas kumpulan Gamelan dari dalam dan luar negara termasuk Jepun, England, China di samping Indonesia.

Kira-kira 30 peserta daripada 17 kumpulan menyertai festival yang berlangsung dalam suasana awal musim tengkujuh.

Selain mengadakan persembahan terbuka, festival yang merupakan sebahagian daripada program Tahun Melawat Terengganu 2013 turut diisi dengan sesi bengkel bagi memberi pendedahan kepada pencinta gamelan untuk mempelajari dan mendalami seni permainan alatan gamelan dengan teras Melayu, Jawa dan Bali.

Ketika bercakap kepada pemberita pada majlis penutup festival, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie mengulangi apa yang diperkatakan pada hari perasmian.

Seolah-olah kenyataannya terdahulu bukan sekadar pemanis mulut sebagaimana yang pernah kedengaran sekian lama iaitu tentang hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab gamelan dunia, tapak yang memulihara dan menyemarakkan perkembangan seni itu.

Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri antara lain akan memperkasakan kemahiran muzik tradisional gamelan di peringkat akar umbi bermula daripada murid sekolah rendah tidak lama lagi.

Katanya, sehubungan itu kerajaan negeri kini dalam perancangan menyediakan lebih banyak peralatan serta menambah bilangan tenaga pengajar muzik tradisional berkenaan di negeri ini.

“Buat permulaan, tumpuan akan diberikan kepada generasi muda memandangkan mereka lebih mudah untuk dilatih seterusnya di peringkat menengah pula mereka hanya perlu memantapkan kemahiran.

“Kita bersedia memperluaskan seni muzik gamelan di sekolah-sekolah mulai tahun depan serta bercadang mendapatkan beberapa tenaga pengajar dari luar untuk tujuan berkenaan," katanya.

Usaha itu katanya, penting bagi memastikan lebih ramai pemuzik profesional khususnya dalam seni gamelan dapat dilahirkan dengan menyemai minat, kecintaan dan mengasah bakat sejak kecil.

Menurut beliau, melihat kepada perkembangan muzik gamelan di dunia, sewajarnya generasi muda di negara ini didedahkan dengan muzik tradisional itu agar mereka menjadi platform untuk memperkenalkannya kepada dunia tentang uniknya gamelan Melayu.

“Justeru itu, kita sedang giat mengumpulkan peralatan gamelan dalam usaha memperhebatkan penguasaan seni muzik gamelan di peringkat akar umbi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Jidin berharap penganjuran festival berkenaan dapat diteruskan pada masa depan bagi menjadikan negeri ini sebagai pentas untuk mengetengahkan pelbagai seni gamelan kepada masyarakat dari luar negara.

Jelasnya, penganjuran festival itu bukan sahaja dapat mendedahkan keunikan muzik gamelan malah dapat menjadi medan pertemuan ramai pakar dan peminat gamelan dari seluruh dunia.

“Sudah sampai masanya untuk menjadikan gamelan Melayu ini suatu muzik yang hebat dan bertaraf lima bintang setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali.

“Langkah itu dianggap penting kerana mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancong terus mengunjungi negeri ini sekali gus mampu memperkenalkan budaya dan keindahan Terengganu," katanya.

 

Sumber : Utusan Online