Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

'Syukurlah, saya tidak nyanyuk'

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

 

'Syukurlah, saya tidak nyanyuk'

KUALA TERENGGANU - “Syukurlah saya tidak nyanyuk dan masih boleh mengingati sejarah yang diceritakan orang terdahulu serta catatan yang ditulis bapa saya,” kata Sharipah Rahmah, 84, anak bongsu kepada penemu batu bersurat, Allahyarham Saiyed Husin Ghulam Al-Bukhari.

Berperwatakan lembut dan mudah tersenyum, anak bongsu Allahyarham Saiyed Husin ini begitu ramah melayani dan tenang menjawab pertanyaan daripada pemberita dan wakil Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu yang menemuinya.

Sharipah Rahmah yang lebih selesa dipanggil Tok Su berkata, bapanya, Allahyarham Saiyed Husin meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, Tok Su masih ingat lagi catatan demi catatan yang ditulis arwah bapa. Dulu banyak koleksi kitab agama yang ditulis tangan sendiri oleh Allahyarham tetapi telah hilang begitu sahaja. Ada juga kitab yang masih ada tetapi dipinjam oleh kenalan.

“Ada juga catatan yang telah renyuk dan tidak boleh dibaca dan masih disimpan oleh Tok Su. Maklumlah, sudah terlalu lama.. beratus tahun lamanya. Tok Su juga minat baca dari muda sehingga sekarang dan gemar baca Sinar Harian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman cucu saudaranya di Kampung Hiliran Parit Gali, di sini.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya sekarang, Tok Su berkata, dia kini sihat namun hidapi sakit tua seperti darah tinggi dan masalah kolesterol.

“Biasalah, dah tua begini macam-macam sakit berpunca pemakanan. Tetapi Tok Su masih boleh berjalan walaupun tidak boleh buat kerja.

“Tok Su kini hanya menghabiskan masa berehat dan berkunjung ke rumah cucu saudara,” katanya.

Ibu Sharipah Rahmah, Allahyarham Che Teh Maryam yang berasal dari Besut adalah isteri terakhir yang dikahwini Allahyarham Saiyed Husin dan Sharipah Rahmah satu-satunya anak Allahyarham yang masih hidup.

Menurut Sharipah Rahmah, berdasarkan cerita orang dahulu, bapanya pernah berkahwin sebanyak enam kali termasuk ketika di Riau, Indonesia sebelum berhijrah ke Terengganu bagi mengiringi perkahwinan adik isteri keduanya (Tengku Sulung) iaitu Tengku Puteri yang berkahwin dengan Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III sekitar tahun 1892.

Sebelum itu, katanya, bapanya pernah berkahwin dengan isteri pertamanya, Che Jah berasal dari Riau, dan selepas kematian Che Jah, beliau berkahwin pula dengan Tengku Sulung, Khatijah dari Singapura sebelum mengahwini Che Som dan isteri terakhirnya Che Teh Maryam meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, bapanya juga pernah berkahwin dengan wanita dari Selatan Thailand yang bernama Che Esah, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

“Sebenarnya, kunjungan Allahyarham bapa saya ke Terengganu bukan atas faktor perniagaan sahaja, walaupun beliau sebenarnya seorang pedagang bijih timah pada ketika itu, beliau sebenarnya datang ke sini untuk mengiringi perkahwinan adik isteri keduanya (Tengku Sulung) iaitu Tengku Puteri yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin III.

“Banyak catatan sejarah mengatakan beliau seorang pedagang, namun, hakikatnya beliau pernah menjadi peguam pada ketika itu," katanya.

 

sumber : Sinar Harian Online