Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Bescomm Tawar Kursus Percuma

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menyediakan kursus komputer secara percuma di sebanyak 47 Pusat Komuniti Bestari (Bescomm) di seluruh negeri ini.

Pegawai Teknologi Maklumat, Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Zulkifli Abdul Kadir berkata, peserta kursus juga akan diberikan sijil diiktiraf kerajaan negeri.

“Kursus kurang daripada sebulan di pusat ini (Bescomm) terbuka kepada semua peringkat umur, tetapi peserta perlulah melebihi tiga orang. Sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari asas komputer, boleh menghubungi Bescomm berhampiran.

“Tenaga pengajar terdiri daripada pegawai terlatih yang arif berkenaan komputer dan mereka sentiasa berada di pusat itu (Bescomm),” katanya ketika mengendalikan Kursus Celik Teknologi Maklumat (IT), Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Terengganu Siri I/2013, di sini.

Zulkifli berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan percuma itu sejak 2003, namun mungkin ada sesetengah pihak masih tidak mengetahui secara langsung peranan Bescomm yang dikendalikan kerajaan khusus untuk rakyat.

“Saya menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan ini kerana ia percuma, selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama mendalami bidang IT,” katanya.