Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Terengganu Hab Gamelan Dunia

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

KUALA TERENGGANU 26 Okt. - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Terengganu sebagai hab gamelan dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai simbol negeri gedung budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, ia bagi memastikan cabang seni yang telah bertapak kukuh di negeri ini sejak lebih seabad itu terus subur sebagai warisan kebanggaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Gamelan Sedunia 2013 berkata, untuk itu, kerajaan negeri akan terus mempromosikan seni gamelan terutamanya kepada anak-anak muda dari semasa ke semasa.

"Kita juga bersedia untuk memperluaskan seni muzik gamelan ini di sekolah-sekolah mulai tahun depan serta bercadang untuk mendapatkan beberapa tenaga pengajar dari luar untuk tujuan berkenaan.

"Ini penting bagi memastikan kita dapat melahirkan lebih ramai pemuzik profesional khususnya dalam seni gamelan ini dengan menyemai minat, kecintaan dan mengasah bakat sejak kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Gamelan Sedunia kali ke-3 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong, di Dataran Shahbandar di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah serta beberapa kenamaan lain.

Festival dwitahunan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai oleh 300 peserta daripada 17 kumpulan pemuzik termasuk tujuh dari luar negara.

Selain Malaysia, negara lain yang turut menghantar penyertaan pada kali ini ialah Jepun, England, China dan Indonesia.

Festival yang merupakan sebahagian dariapda program Tahun Melawat Terengganu 2013 turut diisi dengan sesi bengkel bagi memberi pendedahan kepada pencinta gamelan untuk mempelajari dan mendalami seni permainan alatan gamelan dengan teras Melayu, Jawa dan Bali.

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA ( This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. )
 
SUMBER : Utusan Online