Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Muzium Terengganu Sambut Baik Penemuan Harta Karun

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

KUALA TERENGGANU - Muzium Negeri Terengganu menyambut baik penemuan 'harta karun' yang berupa artifak seperti tempayan, takar dan pasu oleh sepasukan penyelam tempatan di Pulau Bidong di sini pada pertengahan Mac lepas.

Pengarahnya Mohd Yusof Abdullah berkata artifak yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu merupakan tinggalan kesan penting dari segi persejarahan bermulanya ketamadunan negeri Terengganu.

"Sebelum ini, kita menjumpai artifak-artifak seumpama ini dalam sebuah kapal di perairan Dungun," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdapat ratusan artifak ditemui kira-kira 11 kilometer dari jeti Merang dan dua kilometer dari Pulau Bidong, pada kedalaman 18 meter dan keluasan kawasan kira-kira 30 meter persegi dan Muzium Negeri Terengganu kini sedang giat mengumpul maklumat mengenainya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai, terutamnya penyelam untuk mencari kawasan-kawasan lain yang berkemungkinan masih ada lagi artifak seumpama itu di dasar laut perairan negara.

"Sebelum ini saya dimaklumkan ada penemuan selonggok pasu di kawasan lain (di dasar laut), tetapi kita tidak pasti kesahihannya kerana maklumat kurang serta tidak ada penyelam untuk melihat artifak itu," katanya.

Katanya beliau memerlukan maklumat lanjut sebelum mengambil tindakan untuk menyelamatkan artifak itu daripada mengalami hakisan ataupun dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Mohd Yusof berkata kawasan Pulau Bidong satu masa dahulu adalah laluan perdagangan dan percaya kemungkinan terdapat kapal pecah dan tenggelam di kawasan tersebut.

Katanya apapun perkara itu terserah kepada Jabatan Warisan Negeri untuk mengambil rancangan dan tindakan lanjut.- Bernama

 

SUMBER : Sinar Harian