Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Terengganu Inc. Sedia Pelan Strategik Yang Komprehensif

Ditulis pada . di dalam Berita 2013

Terengganu Incorprated Sdn Bhd (TISB) kini dalam peringkat akhir penyediaan Pelan Strategik Syarikat 2014-2018 bagi terus menumpukan perhatian kepada agenda yang komprehensif untuk membina masa hadapan yang mampan bagi negeri dan rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peranan TISB sebagai syarikat pegangan pelaburan yang berkaitan GLC ialah untuk menyimbangkan pertumbuhan dan keberkesanan perniagaan dalam memastikan keuntungan yang optimum.

“Keuntungan yang diperolehi akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui pulangan dividen kepada semua pemegang saham iaitu enam agensi kerajaan yang terlibat,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Dividen kepada agensi-agensi kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Katanya, agensi berkenaan ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Menteri Besar Diperbadankan Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (YT), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).

Menurutnya, agensi kerajaan berkaitan akan menyalurkan dividen tersebut kepada rakyat khususnya melalui pelaksanaan projek-projek yang dikenalpasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit.

Menteri Besar yang juga Pengerusi TISB kemudiannya memperkenalkan dua Pengarah TISB yang baru dilantik berkuatkuasa pada 1 Ogos lalu iaitu Leftenan Jeneral Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar (B) (Permai Hotel) dan Dato’ Wan Jaafar Wan Mahamud (Epic).

 

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Sumber : Unit Komunikasi Negeri