Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Festival Semai Kecintaan Gamelan

Ditulis pada . di dalam Berita 2012

 

 

KUALA TERENGGANU - Gamelan dengan adunan seni muzik dan tari Melayu klasik, merupakan warisan nusantara yang cukup indah serta tinggi nilai seninya.

Tradisi seni pementasan yang amat eksklusif pada awalnya, terus bertahan sejak berabad lamanya dan bagi mereka yang mengagumi, mengharapkannya menjadi satu seni warisan dunia agar terus terpelihara dan tidak menempuh zaman suram.

Di negara ini, gamelan yang dikatakan awalnya diperkenalkan di Pahang, lebih menonjol di Terengganu dan menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini apabila ia dinaungi oleh kerajaan negeri.

Selain wujudnya badan yang mengumpulkan para penggiat bagi mengadakan persembahan pada majlis-majlis rasmi, kerajaan negeri turut menganjurkan pertandingan sebagai salah satu langkah menyemai dan menyuburkan kecintaan terhadap seni itu dalam kalangan masyarakat.

Buat kali ketiga pula, kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium negeri menganjurkan Festival Gamelan Sedunia di sini baru-baru ini yang menghimpunkan beberapa kumpulan Gamelan dari dalam dan luar negara termasuk Jepun, Britain, China dan Indonesia.

Kira-kira 30 peserta daripada 17 kumpulan menyertai festival yang berlangsung dalam suasana awal musim tengkujuh.

Selain mengadakan persembahan terbuka, festival yang merupakan sebahagian daripada program Tahun Melawat Terengganu 2013 turut diisi dengan sesi bengkel bagi memberi pendedahan kepada pencinta gamelan untuk mempelajari dan mendalami seni permainan alatan gamelan dengan teras Melayu, Jawa dan Bali.

Ketika bercakap kepada pemberita dalam majlis penutup festival, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie mengulangi apa yang diperkatakan pada hari perasmian.

Seolah-olah kenyataannya terdahulu bukan sekadar pemanis mulut sebagaimana yang pernah kedengaran sekian lama iaitu tentang hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab gamelan dunia, tapak yang memulihara dan menyemarakkan perkembangan seni itu.

Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri antara lain akan memperkasakan kemahiran muzik tradisional gamelan di peringkat akar umbi bermula daripada murid sekolah rendah tidak lama lagi.

Katanya, untuk itu, kerajaan negeri dalam perancangan menyediakan lebih banyak peralatan serta menambah bilangan tenaga pengajar muzik tradisional berkenaan di negeri ini.

''Buat permulaan, tumpuan akan diberikan kepada generasi muda memandangkan mereka lebih mudah untuk dilatih seterusnya di peringkat menengah pula mereka hanya perlu memantapkan kemahiran mereka.

"Kita bersedia untuk memperluaskan seni muzik gamelan ini di sekolah-sekolah mulai tahun depan serta bercadang mendapatkan beberapa tenaga pengajar dari luar untuk tujuan berkenaan.

"Ini penting bagi memastikan kita dapat melahirkan lebih ramai pemuzik profesional khususnya dalam seni gamelan ini dengan menyemai minat, kecintaan dan mengasah bakat sejak kecil," katanya.

Menurut beliau, melihat kepada perkembangan muzik gamelan di dunia, sewajarnya generasi muda di negara ini didedahkan dengan muzik tradisional supaya menjadi platform memperkenalkannya kepada dunia tentang uniknya gamelan Melayu.

"Sehubungan itu, kita sedang giat untuk mengumpul peralatan gamelan dalam usaha memperhebatkan penguasaan seni muzik gamelan di peringkat akar umbi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Jidin berharap penganjuran festival berkenaan dapat diteruskan pada masa depan bagi menjadikan negeri ini sebagai pentas untuk mengetengahkan pelbagai seni gamelan kepada masyarakat dari luar negara.

Jelasnya, penganjuran festival itu bukan sahaja dapat mendedahkan keunikan muzik gamelan malah dapat menjadi medan pertemuan ramai pakar dan peminat gamelan dari seluruh dunia.

"Sudah sampai masanya untuk menjadikan gamelan Melayu ini muzik yang hebat dan bertaraf lima bintang setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali.

"Langkah ini dianggap penting kerana mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan menggalakkan pelancong terus mengunjungi negeri ini sekali gus memperkenalkan budaya dan keindahan Terengganu," katanya.