Print

MAJLIS PENYERAHAN RUMAH WARISAN TERENGGANU, RUMAH HAJI SU, LOSONG TERENGGANU

Ditulis pada . di dalam Berita 2016

MAJLIS PENYERAHAN RUMAH WARISAN TERENGGANU, RUMAH HAJI SU, LOSONG TERENGGANU 6 APRIL 2016

Gambar penyerahan replika kunci Rumah Haji Su Kepada Pengarah Muzium Negeri Terengganu

PROJEK PEMULIHARAAN RUMAH WARISAN NEGERI,
RUMAH HJ. SU (RUMAH BUJANG BERPELEH BERKEMBAR TIGA DAN RUMAH LIMAS BELANDA)

Majlis Penyerahan Projek Pemuliharaan Rumah Warisan Negeri, Rumah Hj. Su (Rumah Bujang Berpeleh Berkembar Tiga dan Rumah Limas Belanda) telah diadakan pada 6 April 2016 bertempat di tapak projek. Projek tersebut telah diserahkan oleh Ir. Haji Che Kamaruddin bin Bahar, Timbalan Pengarah (Pembangunan), JKR Negeri Terengganu kepada Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdullah, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Maklumat Projek:

Projek pemuliharaan ini melibatkan keluasan tapak seluas 4041.48 m2 bersamaan 0.9986 ekar terdiri daripada 3 lot iaitu lot 224, lot 1781 dan lot 1491 yang terletak di Losong Haji Su, Mukim Losong, Daerah Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Projek ini dimulakan pada bulan Jun 2014 dan telah berjaya disiapkan mengikut jadual.

Kerja-kerja konservasi rumah Haji Su (Rumah Bujang Berpeleh Berkembar Tiga dan Rumah Limas Belanda) melibatkan usaha-usaha konservasi seperti:

• Kerja-kerja pemuliharaan, membaik-pulih dan membina
semula struktur bangunan sedia ada.
• Kerja-kerja pembinaan struktur bangunan baru ( bangunan
penyediaan makanan, pondok pengawal dan baloh padi)
• Kerja-kerja landskap (keseluruhan tapak mengikut konsep
yang telah diluluskan oleh pihak muzium).

Kerja-kerja pembinaan ‘hardscape dan softscape’ pada keseluruhan kawasan bangunan asal dan baru serta kemudahan-kemudahan berkaitan seperti struktur pergola dan wakaf turut dilaksanakan.

Semoga usaha memulihara bangunan-bangunan yang mempunyai nilai estetika dan unik ini sentiasa dipulihara. Syabas dan tahniah kepada JKR atas inisiatif yang dilaksanakan.

Gambar oleh Encik Jalil bin Othman (Bahagian Fotografi LMNT)

SUMBER BERITA DARIPADA FACEBOOK JKR MALAYSIA

 

 
 
 
 
 
Print

Muzium Maya Terengganu Pertama di Malaysia, Ketiga Di Dunia

Ditulis pada . di dalam Berita 2016

Kerajaan negeri mula memperkenalkan Muzium Maya bagi membolehkan 33,000 bahan sejarah dan artifak milik Lembaga Muzium Negeri Terengganu dapat dilihat melalui capaian secara interaktif.
 
Muzium Maya Terengganu yang diwujudkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia itu adalah pertama di Malaysia dan ketiga di dunia.
 
Kemudahan itu boleh dicapai melalui laman sesawang www.ftsm.ukm.my/museummaya, selain menyediakan kemudahan interaktif di setiap ruangan pameran di Muzium Negeri Terengganu.
 
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, melalui program itu, pihak muzium bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah menjimatkan ruang pameran.
 
Katanya, terdapat banyak artifak yang tidak dapat dipamerkan kerana ruang yang sempit walaupun khazanah tersebut sangat bernilai tinggi.
 
“Projek ini juga dapat memberi kesedaran kepada pelawat tentang kepentingan warisan budaya yang ditinggalkan nenek moyang,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sompisium ICT Dalam Warisan Budaya dan Pelancaran Sistem Muzium Maya di Muzium Terengganu, hari ini.
 
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah dan Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Imran Ho Abdullah.
 
Sementara itu, Imran memberitahu buat permulaan sebanyak 400 artifak dimuatkan ke dalam sistem itu, dan selebihnya akan diselaras secara berperingkat-peringkat.
 
“Kami yakin sistem muzium maya ini mampu memberi manfaat dan impak besar kepada masyarakat hasil daripada proses penyelidikan dan kerjasama erat enam pakar UKM,” katanya.
 
 
Sumber : Teganu Online