Print

Pelihara tarikan pelancongan

Ditulis pada . di dalam Berita 2015

KUALA TERENGGANU –Satu garis panduan diperlukan dalam membangunkan khazanah alam semula jadi kepada umum agar tidak berlaku percanggahan pembangunan yang dikhuatiri akan merosakkan alam semula jadi di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak berkata, keindahan alam semula jadi yang ada di sini berpotensi menjadi tarikan besar buat kunjungan pelancong ke negeri ini.

“Penggunaan alam semula jadi untuk pelancongan dilihat mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan di negeri ini, bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan tanpa menyentuh keaslian kawasan itu.

“Sebagai contoh, viral sungai di Dungun Terengganu dikenali sebagai Sungai Bangang atau Bagan yang terletak di hutan lipur Chemerong sebenarnya memperlihatkan kecantikan satu tempat yang masih belum disentuh manusia,” katanya.

Tambahnya lagi, keindahan alam semula jadi yang masih belum disentuh manusia dan dibangunkan boleh gunakan itu sebagai satu tarikan pelancongan yang berpotensi menarik kunjungan lebih ramai pelancong.

“Banyak lagi tempat-tempat menarik yang belum didedahkan kepada umum, bagaimanapun, sebelum proses itu kita perlukan garis panduan supaya tidak berlaku percanggahan pembangunan yang akan boleh merosakkan alam semula jadi itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga bercadang mengadakan Nature Tourism Summit 2016 yang dijangka akan turut mendapat penyertaan dari negara luar.

“Persidangan Antarabangsa Pelancongan Eko Marin Terengganu (TEMCO) akan menjadi salah satu bahagian daripada Nature Tourism Summit 2016 yang kita jangka akan adakan dua kali iaitu di Kuala Lumpur dan di Terengganu.

“Hala tuju persidangan yang kita adakan selama seminggu ini telah jelas dan ini adalah perkara yang positif dalam usaha menarik kunjungan pelancong ke sini,” katanya.

 

Sumber : Norhaspida Yatim, Sinar Harian Online

Print

Terengganu Cadang Pintar al-Quran Diperluas Ke Sekolah Menengah

Ditulis pada . di dalam Berita 2015

 

4(1)

Terengganu bercadang memperluaskan Program Pintar al-Quran kepada pelajar di sekolah menengah bagi melahirkan lebih ramai generasi yang   celik kitab suci itu, pada masa depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program  berkenaan yang ketika ini dilaksanakan di tadika dan sekolah rendah berjaya memupuk minat membaca al-Quran di kalangan pelajar sekolah rendah serta awal usia.

“Apabila memasuki sekolah menengah, masih ada yang tidak dapat menguasai pembacaan al-Quran dengan baik, jadi sudah sampai masanya program ini diperluaskan ke peringkat pelajar sekolah menengah pula.

“Usaha ini akan dinilai semula serta diuruskan oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) supaya mencari kaedah sesuai agar semua remaja Islam di Terengganu mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik terutama dari aspek hukum tajwid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-Kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, kelmarin.

Ahmad Razif berkata, skop Pintar al-Quran juga akan diperluaskan kepada hafazan muqaddam jika mendapat persetujuan daripada pihak YIT kerana ianya amat bermanfaat untuk diprakttikan kanak-kanak dalam solat mereka.

13

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah YIT, Dato’ Dr. Alias Abdullah.

Seramai 11,892 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran pada tahun ini melalui program tersebut yang dijalankan serentak di semua daerah. Selain itu, Menteri Besar juga mahu program khatam al-Quran itu dilaksanakan dengan melibatkan kakitangan kerajaan negeri pada tahun depan.

“Program yang baik seumpama ini perlu diperkasakan dan menyeluruh dari peringkat kanak-kanak, remaja hingga dewasa dan sudah pasti kakitangan kerajaan negeri adalah golongan yang paling tepat untuk memulakannya,” katanya.

 

Sumber : Mohd Syazni Zainudin, Tganu Online