Imbas QR Kod
QRCode
      sila klik
 

Konsep Bangunan Muzium

Ditulis pada . di dalam Uncategorised

Konsep rekabentuk Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini telah diilhamkan oleh Yang Mulia Raja Dato’ Kamarul Bahrin Shah. Pada asasnya ada tiga pertimbangan utama untuk dibuat di dalam merealisasikan rekabentuk bangunan utama Kompleks Muzium Negeri Terengganu. Pertama, ia berkaitan dengan imej ataupun rupabentuk bangunan. Pada peringkat awal, objektif rupabentuk adalah lebih menjurus kepada cita-cita untuk mewujudkan sebuah bangunan yang dapat menggambarkan senibina Melayu tempatan. Untuk maksud tersebut, maka rekabentuk Rumah Tele ataupun Rumah Bujang Berserambi telah dipilih.

Ciri utama rekabentuk senibina ialah ‘ fascia ’ hadapannya yang dikenali sebagai pemeleh dan dinding panel berukir. Bangunan ini juga direkabentuk untuk memberikan gambaran seakan-akan ia berdiri di atas tiang dengan ruang masuk melalui tangga yang terangkat seperti rumah tradisional di kampung-kampung. Bahan serta ukiran kayu yang diselitkan bertujuan untuk menambahkan aspek keaslian serta estatiknya.

Kedua, perancangan susunatur ruang yang diputuskan di dalam aspek pembinaan bangunan utama ini mengandungi 4 blok yang bersambung dengan ruang ‘ communal ’ yang berfungsi sebagai laman pameran. Rangkaian bangunan yang bersambung ini mengambarkan satu keluarga yang besar yang berakar umbi daripada keluarga asas iaitu blok utama dan apabila jumlah isi keluarga berkembang, maka wujudlah bangunan yang baru, iaitu rangkaian blok-blok lain. Daripada aspek kekeluargaan, ia menampakkan suasana akrab dan rapat di antara ahli keluarga. Jambatan perhubungan di antara blok utama dengan blok yang lain menggambarkan bahawa hubungan di antara ibubapa dan anak serta ahli keluarga sentiasa terjalin dengan erat.

Susun atur ruang sedemikian juga diharap akan memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati sistem laluan yang menarik dan selesa di mana mereka boleh bergerak dari satu blok ke satu blok yang lain. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati dua keadaan yang berbeza, di mana semasa berada di dalam bangunan, pengunjung akan menikmati suasana yang agak‘mekanikal ’ manakala semasa berada di jambatan penghubung, pengunjung menikmati suasana luaran yang begitu ‘natural’ dan nyaman.

Ketiga, bangunan ini juga dibina menghadap sungai di dalam paksi Timur Barat. Konsep ini dilaksanakan berasaskan pengangkutan tradisi yang menggunakan jalan air ( sungai ). Dengan ini, diharapkan pengunjung berpeluang untuk datang ke Muzium dengan menggunakan jalan air. Untuk lebih efisyen, sebuah jeti yang boleh dijadikan pengkalan oleh para pengunjung juga telah dibina.

Untuk menambahkan lagi ciri ‘ ketradisionalannya ’, sebuah lagun buatan telah dibina sebagai kolam bayangan ‘ fantasy pool ’ berhampiran dengan tebing sungai. Kewujudan kolam bayangan ini akan dapat mengurangkan konsep ukuran bangunan ( building scale ) kepada konsep yang lebih berteraskan ukuran kemanusiaan ( human scale ).